Mengimbas insiden lucu yang berlaku ketika membimbing Malaysia pada kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2014 yang kini dikenali Kejohanan ASEAN, Dollah berkata papan skor di Stadium Jalan Besar secara salah memaparkan namanya sebagai Pablo Dollah Salleh sebelum perlawanan bermula.
Beliau mengakui kesilapan itu menjadi sebahagian daripada identitinya sehingga hari ini.
"Sebelum perlawanan, dekat skrin stadium keluar nama Pablo Dollah Salleh, saya tidak tahu dari mana datangnya nama itu, sampai ke hari ini ada yang masih panggil saya dengan nama berkenaan.
"Walaupun nama itu mungkin ada kaitan dengan Pablo (Escobar) dari Colombia, tapi ini (Pablo Dollah Salleh) unik, ada perbezaan," kata bekas penyerang skuad Harimau Malaya itu sambil ketawa ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kopi Pablo Dollah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dollah yang juga pengurus pasukan Sri Pahang FC berkata perniagaan yang dimulakan itu bukan petanda beliau akan bersara daripada dunia bola sepak.
"Bola sepak ibarat darah daging saya, rasa agak sukar nak meninggalkan dunia bola sepak, tapi mana kita tahu, insya-Allah kalau Kopi Pablo Dollah ini berjaya ada kemungkinan juga, jadi kita tunggu dan lihat nanti," katanya.
Pada majlis hari ini, Dollah melancarkan minuman kopi 100 peratus buatan tempatan untuk pasaran dalam negara, bertujuan memberi pengalaman berbeza dengan cita rasa tersendiri.
Turut hadir Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram serta bekas-bekas pemain kebangsaan yang juga rakan sepasukan Dollah.
-- BERNAMA