DI sebuah bar di bandar Wuhan, Zhang Qiong teruja dapat menyambut hari lahir bersama rakan-rakannya.

"Saya rasa seperti dapat peluang kedua untuk hidup," kata Zhang, 29 tahun, pekerja di sebuah kedai tekstil di bandar itu, yang merupakan lokasi tercetusnya COVID-19 sebelum ini.

Di luar, orang ramai berpesta, asap rokok dihembus, wajah penuh kegembiraan tanpa memakai pelitup separuh muka.

Riuh rendah malam di Wuhan kembali seperti biasa hampir tujuh bulan selepas bandar itu menjalani perintah berkurung yang ketat.

Bar dan kelab malam di Wuhan sesak dengan orang ramai. - Reuters

Ia pastinya satu situasi yang tidak dapat dibayangkan di tempat lain di seluruh dunia, namun Wuhan begitu 'hidup', orang ramai menjamu selera di gerai-gerai di tepi jalan dan memenuhi kelab-kelab malam di bandar itu, seolah-olah mahu menebus kembali masa yang hilang sebelum ini.

Ia juga memberikan gambaran mengenai gaya hidup pasca pandemik yang diharapkan akan menjadi kenyataan tahun hadapan, setelah pelancaran vaksin COVID-19 di peringkat global.

Situasi di Wuhan bukan satu perkara normal di tempat lain di seluruh dunia. - Reuters

Tatkala kehidupan kembali normal di Wuhan, sektor perniagaan dan restoran masih perlu menunggu untuk memperoleh kembali keuntungan dan menstabilkan kewangan.

Tetapi bagi orang ramai yang berpesta bagai tiada hari esok, mesejnya jelas.

"Saya mahu menghargai peluang yang ada hari ini kerana anda tidak pernah tahu bila hidup akan berakhir.

"Manfaatkan setiap hari," ujar Zhang.