"SEKARANG setiap pagi sebelum ke tempat kerja, saya ke pusara arwah isteri tempat saya dan anak-anak melepaskan rindu."
"Inilah tempat persinggahan sejak isteri meninggalkan kami sekeluarga."
Itu luahan bapa kepada dua anak, Ahmad Mu’arif Ahmad Khairuddin, 30, yang masih sukar menerima hakikat isterinya sudah meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19.
Dijemput Ilahi dua minggu selepas melahirkan anak
Ahmad Mu’arif yang kini terpaksa menjadi ayah dan ibu kepada dua anak mereka yang masih kecil berkata isterinya, Fitryayumi Jamaris, 29, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Selayang pada 23 Ogos lalu, dua minggu selepas melahirkan anak kedua mereka.
“Arwah isteri saya dijangkiti COVID-19 ketika usia kandungan hampir mencecah lapan bulan, saya sendiri tidak pasti dari mana dia dapat virus itu.
“Kami bekerja di tempat yang sama iaitu sebuah pusat membeli belah. Bagaimanapun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan premis itu ditutup, kami tidak dapat bekerja dan banyak duduk di rumah.
“Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke Hospital Selayang dan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya pada 8 Ogos lalu,” katanya yang memberitahu, selepas itu arwah ditidurkan kerana kadar oksigen menurun, bahkan tidak sempat melihat dan menyentuh bayi dilahirkannya.
“Minggu pertama ditidurkan, keadaan isteri saya nampak semakin baik dengan kadar oksigen stabil. Namun, pada minggu kedua, oksigen mula menurun dan terus merosot sehinggalah dia dijemput Ilahi pada pagi, 23 Ogos lalu,” katanya.
Anak kerap bertanya, mana ibu?
Selepas isteri tiada, terasa dunia saya gelap dan tidak tahu bagaimana nak teruskan hidup.
Apa yang saya boleh lakukan sekarang, setiap hari singgah ke pusaranya, bacakan doa dan turut bercerita kepadanya hari-hari yang saya lalui tanpanya bersama anak-anak.
“Itulah kekuatan saya, bila mengunjungi pusara arwah isteri. Tidak kira hujan ribut pun saya redah, ada ketika saya bawa anak sulung yang berumur tiga tahun kerana dia masih setiap hari kerap bertanya mengenai ibunya, bahkan tidur pun memegang gambar arwah,” katanya.
Kisah pemergian Fitryayumi turut dikongsikan di laman web Memorial COVID-19 Malaysia yang dibangunkan bagi mengenang dan menghormati individu yang terkorban akibat pandemik itu di negara ini.
Ibu tolong jaga anak-anak buat sementara waktu
Ahmad Mu’arif berkata, kehidupannya turut berubah sepenuhnya kerana perlu memberi perhatian kepada dua anak iaitu Ahmad Qhutbie Zayyan, 3 dan Ahmad Qhutbie Zaffran yang baru berusia sebulan.
“Buat masa ini, anak-anak dijaga oleh ibu saya yang bekerja di sekolah sebagai pekerja pembersihan, memandangkan sekolah ditutup, jadi dia menjaga sementara.
“Saya mungkin terpaksa berhenti kerja dan mencari pekerjaan lebih fleksibel selepas ini apabila ibu sudah mula bekerja semula kerana perlu menjaga anak-anak,” katanya yang bekerja sebagai juru jual pakaian.
Harap dipermudahkan urusan membesarkan anak
Ahmad Mu’arif berkata, pendapatannya yang sedia terjejas kerana pandemik COVID-19 semakin membebankan selepas isterinya meninggal dunia.
“Dulu boleh berkongsi dengan isteri untuk bayar rumah sewa dan uruskan keperluan anak, tetapi semuanya kini terletak di bahu saya seorang.
“Bayangkan, untuk uruskan jenazah isteri pun saya hanya ada RM500 wang simpanan dan mujur duit itu cukup untuk mengupah khidmat pengurusan jenazah swasta,” katanya.
Beliau turut berharap pihak berkuasa memudahkan pengurusan COVID-19 khususnya bagi membuat tuntutan dan bantuan seperti zakat.
“Saya harap kerajaan pertimbangkan peruntukan untuk anak-anak kepada mangsa COVID-19, mudahkan juga urusan bantuan zakat kerana contohnya sekarang, saya tidak boleh memohon (zakat) kerana perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan lagi untuk dokumen lengkap perubatan dikeluarkan piFhak hospital,” katanya.
Mu’arif turut berharap golongan bapa tunggal turut dibantu, dengan bantuan sewajarnya diberikan untuk kebajikan anak-anak yang masih kecil terutama berkaitan penjagaan dan asuhan.