Budaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang menjadi antara penyumbang utama kemalangan jalan raya di negara ini perlu dibuang dalam diri setiap pengguna jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata tahap kesedaran pengguna jalan raya untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta atau menunggang motosikal masih rendah.

"Saya bimbang lihat pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit terutamanya penunggang motosikal. Ini adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana ia boleh mengganggu dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Kalau penting sangat, mereka boleh berhenti di kawasan yang selamat untuk menjawab panggilan atau membalas teks," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah 2018.

Tajul Urus berkata sikap kurang sabar pengguna ketika di jalan raya juga mempengaruhi jumlah kemalangan dan kematian yang berlaku.

"Pengguna perlu ada sikap sabar supaya mereka boleh mematuhi undang-undang jalan raya, jika tiada sikap sabar itu yang menyebabkan mereka langgar lampu merah dan memotong sesuka hati. Kalau sabar, semua boleh sampai ke destinasi yang dituju dengan selamatnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya negeri Chan Pei Hong berkata pengguna jalan raya perlu memberi fokus 100 peratus semasa di jalan raya tetapi fokus tersebut menurun kepada 50 peratus apabila pengguna menggunakan telefon bimbit.

"Apabila tahap fokus tinggal 50 peratus, tumpuan pengguna jalan raya terhadap risiko kemalangan juga berkurangan. Itu boleh menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga meragut banyak nyawa," katanya.

--BERNAMA