CYBERJAYA: Susunan tujuh warna merah, biru tua, kuning, biru muda, putih, biru laut dan sekali lagi merah pada bahagian tengah beg kait berwarna hitam yang dipamerkan di reurai negeri Sabah, bukan sekadar hiasan sebaliknya memiliki makna mendalam buat masyarakat Dusun Tatana di Kuala Penyu, Bahagian Pedalaman negeri itu.

Mertinih Ivy Joklis, 43, yang menghasilkan beg kait itu berkata corak tersebut dikenali sebagai 'pirawis' dan biasanya dikenakan pada bahagian lengan pakaian tradisional wanita Dusun Tatana yang dipanggil Sira Lambung.

"Tanpa pirawis bererti tidak lengkap Sira Lambung, persalinan yang dikenakan pada acara seperti keraian. Pirawis dihormati menyebabkan ia tidak dikenakan pada kaki sebaliknya bahagian atas seperti kedua-dua belah lengan baju dan saya juga saya pernah lihat ia dijahit di pinggang.

"Ada masa pirawis menjadi tajuk perbualan saya dengan orang yang baru dikenali apabila mereka bertanya maksud warna di lengan yang menyerlah jika dibandingkan dengan warna fabrik hitam yang digunakan untuk menghasilkan Sira Lambung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di reruai negeri Sabah pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2024 di sini pada Ahad.

Perkara itu menyebabkan Ivy tertarik untuk mengetengahkan motif pirawis pada beg kait yang dihasilkan dengan menggunakan benang khas nylon juga berwarna hitam bagi mengekalkan identiti Sira Lambung.

Ia secara tidak langsung merupakan sumbangan kecilnya dalam memperkenalkan masyarakat Dusun Tatana, yang menurut Ivy nenek moyang mereka berasal dari China berkahwin dengan etnik Dusun di Sabah, menyebabkan mereka juga meraikan Tahun Baharu Cina selain perayaan mengikut agama.

"Beg kait juga produk sesuai untuk mengetengahkan motif pirawis kerana mudah dibawa ke mana-mana berbanding pakaian seperti Sira Lambung yang lebih sesuai digunakan jika menghadiri acara. Selain itu, rona warnanya juga menarik dipandang," katanya.

Wanita yang kini menetap di Puchong, Selangor itu menambah beg kait itu dihasilkan dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar serta dijual pada harga antara RM79 hingga RM180.

Mula mempelajari seni mengait sejak kecil, Ivy berkata biasanya dia mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan sebuah beg bersaiz sederhana, yang dilakukan secara sambilan kerana mempunyai pekerjaan tetap.

-- BERNAMA