PENYEBARAN video lucah membabitkan seorang yang mirip menteri kabinet beberapa hari lalu bukanlah kes pertama seumpamanya.

Dalam banyak kes, mangsa kebiasaannya tidak menyedari aksi mereka dirakam.

Astro AWANI berikan beberapa tips ini untuk membantu anda mengesan kamera tersembunyi.

Tahu di mana nak cari

Nama pun kamera tersembunyi, tentunya saiznya kecil dan sukar dikesan. Tetapi ada beberapa tempat tertentu yang kebiasaannya menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk meletakkan kamera terbabit.

Pengesan asap, suis elektrik dan jalur kuasa, lampu tidur, buku, tempat simpanan DVD atau permainan video, rak, komputer riba atau desktop, tetikus, lubang-lubang kecil yang ada pada dinding, bingkai gambar atau dekorasi lain, anak patung.

Lokasi pula, kebiasaannya mempunyai angle terbaik untuk melihat keseluruhan ruang. Jika bilik tidur, sudut dan ruang tepi memberi gambaran paling jelas.

Perhiasan berbentuk cermin yang nampak pelik. Bab ini memerlukan anda mengikut gerak hati dan naluri sendiri. Jika anda rasa tidak selesa, mungkin ada baiknya anda berbuat sesuatu tentangnya.

Anda boleh menyemak sama ada cermin itu two way mirror dengan cara meletakkan hujung jari anda pada cermin. Jika ada gap atau ruang pada refleksi di cermin, ia adalah cermin biasa. Tetapi jika refleksi menyentuh jari anda secara terus, ia adalah two way mirror. Two way mirror adalah red flag!

Bagaimana?

Matikan lampu. Jika anda bernasib baik, akan ada biasan lampu merah atau hijau dari kamera dapat dilihat.

Gunakan telefon bimbit anda untuk mengimbas gangguan. Ini bukan sistem yang sempurna, tetapi ia akan membantu anda mencari jenis kamera tertentu.

Buat panggilan pada telefon bimbit anda, dan biarkan pemanggil di talian. Berjalan mengelilingi bilik dengan telefon anda. Dengar jika ada sebarang gangguan seperti bunyi dengung dari telefon anda.

Anda juga boleh menggunakan kamera telefon pintar anda. Tetapi anda terlebih dahulu perlu memastikan kamera telefon anda tidak mempunyai infrared filter.

Matikan lampu di dalam bilik. Untuk mengimbas cahaya inframerah, bilik anda perlulah segelap yang boleh.

Gunakan kamera telefon pintar anda untuk mencari lampu berkelip. Ia petanda adanya kamera tersembunyi.

Apa nak cari?

Keseluruhan kamera mungkin tidak dapat dikesan, tetapi kamera pada kebiasaannya mempunyai lensa untuk beroperasi. Lensa inilah yang anda patut cari dan ia secara umumnya tidak sukar dikesan.