SELAIN perkongsian tips kesihatan dan kecergasan untuk umat Islam di bulan Ramadan, turut mendapat perhatian di laman sosial adalah pelbagai resepi, terutamanya untuk bersahur.

Ini kerana kebanyakan daripada kita lebih selesa untuk mengambil juadah yang ringkas, tetapi dalam masa yang sama mengenyangkan dan memberi tenaga.

Antara yang popular tahun ini adalah Air Nabeez, yang menurut beberapa sumber merupakan antara amalan pemakanan Nabi Muhammad SAW.

Biarpun bukan resepi baharu, namun mungkin kerana tidak ramai yang mengetahui kebaikannya membuatkan Air Nabeez tiba-tiba menjadi sebutan pada Ramadan tahun ini.

Cara untuk menyediakannya juga amat mudah, iaitu dengan merendamkan tiga biji kurma di dalam air putih semalaman.

Ada juga yang memilih mencampurkan air rendaman kurma itu ke dalam minuman seperti susu dan coklat.







Bukan sahaja mudah, Air Nabeez juga berkhasiat, malah lebih menarik, ia boleh mengelakkan perut anda mengeluarkan 'bunyi-bunyian' sepanjang hari berpuasa.

Kurma, secara semulajadinya, adalah pemulih tenaga yang sangat baik, tinggi kandungan serat, zat besi dan potasium.

Selain kurma, Air Nabeez juga boleh dibuat dengan merendam kismis, juga melalui proses yang sama.