KUALA LUMPUR: Memasuki fasa terakhir bulan suci Ramadan, umat Islam pastinya bersungguh-sungguh mengerjakan amal kebaikan selain mengejar satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam Lailatul Qadar.

Pendakwah dan Wakil Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Nabil Ahmad berkata, "Mari zahirkan rasa kesyukuran kerana masih diberi kesempatan untuk menambah baik amal kebaikan di bulan mulia ini.

“Nabi Muhammad akan memperbanyakkan ibadat pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya.

“Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)."

Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi: Sumbangan Dan Pembangunan Ruwaq Jawi yang disiarkan pada Sabtu.

AWANI Pagi: Sumbangan Dana pembangunan Ruwaq Jawi

Mengulas lanjut, tambah Nabil, "Nabi Muhammad bersabda dalam Hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadan.

“Ambillah peluang ini untuk iktikaf pada malam 10 terakhir Ramadan yang mana fadilatnya lebih banyak daripada hari biasa. Maksud iktikaf di sini adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah.

“Selain itu, segala kebaikan yang kita kerjakan juga akan dilipatgandakan pahalanya. Apalagi jika semasa kita berbuat kebaikan seperti sedekah jariyah, berinfak atau memberi makan seumpamanya.”

Di samping itu, katanya, Rasulullah apabila tibanya Ramadan akan menjadi sangat pemurah dan masyarakat digalak untuk mencontohi amalan terpuji Baginda, iaitu rajin bersedekah, berinfak dan berwakaf.

“Salah satunya adalah sedekah untuk mereka yang berjuang mencari ilmu dan menyampaikan ilmu. Saya ingin kongsikan berkenaan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi yang sekarang ini sangat memerlukan bantuan sumbangan anda semua untuk memiliki sebuah bangunan baru.

“Pusat Pengajian Ruwaq Jawi merupakan sebuah hub pendidikan percuma yang digerakkan oleh sekumpulan Agamawan Melayu Malaysia berpusat di Kaherah, Mesir,” katanya.

Ruwaq Jawi telah bermula sejak 205 tahun yang lalu dan kini usaha Ruwaq Jawi bagi melahirkan generasi ulama ini semakin berkembang luas dan dengan adanya penganjuran hampir 130 kelas pegajian secara percuma setiap bulan.

Katanya, bangunan baru pusat Pengajian Ruwaq Jawi yang berpusat di Kaherah, Mesir itu akan merangkumi dewan-dewan kuliyyah, kelas-kelas pengajian, maktabah dan pusat pentadbiran.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh salurkan ke info berikut: