Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, mendedahkan skuad The City Boys itu menghadapi cabaran mengenai caruman KWSP yang tidak dibayar sejak Februari 2023 dan menuntut badan bebas, First Instance Body (FIB), untuk memberikan penjelasan mengenai dokumen serahan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Standley Bernard.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, dalam repons segeranya kepada Fina Nasrom berkata kelab itu sudah mengemukakan dokumen yang lengkap dan mustahil pihaknya melakukan keputusan yang salah.
Dalam masa sama, pemain tengah sensasi, Zhafri Yahya, turut mengesahkan perkara tersebut wujud namun, pemain kebangsaan itu menegaskan bahawa terdapat persefahaman baik antara pemain dan pengurusan kelab untuk tidak merahsiakan situasi itu.
"Saya menghargai usaha pengurusan untuk memberikan penjelasan yang sebenar susulan kejadian yang berlaku dan rakan seperjuangan saya juga bertindak secara profesional.
"Mereka mengakui untuk bertanggungjawab melakukan proses pembayaran secara berfasa dan saya menyeru pihak atasan untuk memperbetulkan khabar angin yang menidakkan masalah tersebut dan berkata benar kepada umum.
"Saya mengharapkan setiap pengurusan dapat menyelesaikan isu ini secara baik supaya mendapat kata sepakat bersama keseluruhan pemain," katanya.