SERI tanpa jaringan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit sebentar tadi, bukan penamat cerita bagi skuad kebangsaan.

Berbaki 90 minit, peluang masih ada buat Harimau Malaya melakar kejutan, seterusnya melangkah ke final.

Itu azimat dan pesanan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menerusi kemas kini di akaun Facebook FAM sebentar tadi.




"Kita perlu kekal positif dan jangan terlalu kecewa, peluang masih terbuka.

"Kita harus terus fokus kerana masih ada baki 90 minit lagi untuk kita berjuang dalam memastikan Malaysia dapat melangkah ke pentas final pada 11 dan 15 Disember depan.

"Tiada yang mustahil dalam bola sepak," tulis Hamidin.

Beliau juga meluahkan penghargaan tertinggi buat penyokong yang berdiri teguh di belakang pasukan negara, terutama sekali Ultras Malaya.

Malaysia memerlukan keputusan seri dengan jaringan gol di Bangkok dalam perlawanan separuh akhir timbal balik jika mahu melangkah ke pentas akhir.