BANGKOK: Polis Thailand akan mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar, mengakibatkan kematian 23 pelajar dan guru di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol Jen Kittharath Punpetch berkata pemandu itu menyerah diri pada lewat petang Selasa dan sedang disoal siasat di balai polis Khu Khot.

Beliau berkata pemandu itu akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek mengaku bersalah dan penyiasat menahannya di balai polis Khu Khot," kata Kittharath pada sidang akhbar pada Rabu.

"Penyiasat telah menemu bual saksi, mengumpul bukti dari tempat kejadian dan meneliti rakaman CCTV."

Beliau berkata bas itu dilengkapi 11 tong gas, tetapi hanya enam daripadanya yang berdaftar.

"Siasatan forensik diperlukan. Mereka yang bertanggungjawab akan didakwa."

Institut Perubatan Forensik Hospital Polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Sains Forensik Polis untuk mengesahkan identiti mangsa.

Susulan kejadian itu, Kementerian Pendidikan Thailand mengarahkan penggantungan serta-merta semua lawatan lapangan sekolah.

Menteri Pendidikan Permpoon Chidchob berkata jika lawatan seperti itu diperlukan, langkah keselamatan dan rancangan perjalanan yang ketat mesti dilaksanakan dan Jabatan Pengangkutan Darat mesti memeriksa keadaan kenderaan sebelum perjalanan.

"Bermula sekarang, kenderaan yang digunakan untuk lawatan sekolah tidak boleh berusia lebih daripada lima tahun. Siasatan mendapati bas yang terlibat dalam kejadian ini adalah kenderaan lama, berusia beberapa dekad," katanya.

-- BERNAMA