Menurut atlet perahu layar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Ainul Izzati, kemampuan dimilikinya dan golongan wanita mengendalikan emosi dengan baik, menjadi kunci kejayaannya dalam sukan layar, yang dianggap lasak dan mencabar, sehingga dia dan pasukannya mampu mengangkat martabat negara di Itali.
Tambahnya, penglibatan golongan wanita dalam sukan layar dan bidang berkaitan maritim juga dilihat tidak setanding dengan golongan lelaki yang dilihat lebih mendominasi.
"Penglibatan wanita dalam sukan layar dan bidang maritim masih rendah.
"Jadi antara lain, tujuan saya menyertai sukan layar ini adalah untuk meningkatkan jumlah wanita yang menceburi sukan layar ini," katanya.
Nur Ainul dan lima lagi ahli pasukan daripada Kelab sukan layar UMT berjaya ke 2024 FISU World University Championships Sailing di Lake Garda, Densenzano, Itali yang berlangsung dari 4 hingga 11 Jun lalu.
Hanya empat negara Asia sahaja yang berjaya bertanding antaranya Jepun, China, Singapura dan Malaysia.
Menurut Pengarah Pusat Latihan Pelayaran UMT Mohd Hafizi Bin Said, meskipun berhadapan dengan pelbagai faktor yang mencabar, kecekalan dan disiplin ahli pasukan menyebabkan mereka berjaya mengharungi kejohanan tersebut.
"Di sini (Terengganu) kami biasanya berlatih dalam keadaan angin 5 hingga 10 knot.
"Namun, ketika berada di sana, angin hanya berada di bawah 3 hingga 5 knot, hampir tiada angin.
"Jadi ia agak sukar untuk pelajar-pelajar saya yang masih baru dalam pelayaran mengesan arah angin kerana kelajuannya yang perlahan.
"Inilah cabaran yang saya lihat memberi kesan buruk kepada taktik kami," katanya dalam program AWANI Pagi pada Ahad.
Untuk rekod, pasukan pelayaran UMT telah beberapa kali melakar kejayaan dalam beberapa siri pertandingan peringkat dunia termasuk meraih 1st runner up pada Kingdom Match and Fleet di Bahrain hujung tahun lalu.