PENAUNG Persatuan Bola Sepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam supaya memberi keutamaan kepada pembangunan bola sepak Malaysia daripada mengeluarkan kenyataan yang 'tidak masuk akal'.

Menurut laman Facebook rasmi pasukan 'The Southern Tigers', TMJ meluahkan perasaannya berikutan kenyataan Kevin bahawa penaung Diraja itu 'keliru' mengenai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 baru-baru ini.

"Sebelum anda mengeluarkan kenyataan bahawa saya keliru, lebih baik berfikir panjang kerana tiada penaung atau presiden kelab bola sepak lain yang turun padang lebih daripada saya.

BACA: 'Adakah saya dalam kedudukan untuk mencemburui sesiapa?' - TMJ

BACA: Contohi TMJ, jangan bodoh sombong

BACA: Pendedahan fakta bola sepak oleh TMJ

"Saya tidak keliru bahawa anda dibayar setiap bulan, saya tidak keliru berkenaan di mana letaknya kesetiaan anda, saya juga tidak keliru apabila anda menjelaskan berkenaan agihan dana dan ke mana ianya akan disalurkan mulai 2016. Percayalah, SAYA TIDAK KELIRU!" tegas Tunku Ismail.

Tunku Mahkota Johor turut menerangkan bahawa baginda bukanlah kecewa dengan Kevin tetapi lebih kecewa dengan sistem bola sepak yang sedia ada namun meminta CEO FMLLP itu berhenti melindungi orang atasan iaitu sumber kewangannya.

"Jika anda (Kevin) benar-benar ingin membantu bola sepak Malaysia, tangani gejala mengatur perlawanan, pastikan pengadil diuruskan badan bebas dan dipantau oleh SPRM dan akhir sekali, setiap pasukan bertanding mestilah menerima bahagian mereka secara adil daripada hasil penyiaran, supaya mereka tidak terbeban.

"Pastikan perkara-perkara ini dilaksanakan terlebih dahulu, daripada cuba mengampu orang atasan dan pergi ke percutian berbayar kelas pertama, sedangkan orang lain bergelut setiap hari dengan sistem ini," tegas Tunku Ismail.