JON 'Bones' Jones mempertahankan kejuaraan heavyweight UFC dengan kemenangan TKO ke atas Stipe Miocic dalam aksi UFC 309 di Madison Square Garden, New York, pada Ahad.

Jones, dari Amerika Syarikat, menumpaskan rakan senegaranya yang juga bekas juara heavyweight pada minit 4:29 pusingan ketiga.

Pusingan pertama menyaksikan Jones mendominasi pertarungan dengan kawalan baik dan serangan siku yang tepat, memberi tekanan hebat kepada Miocic.

Walaupun Miocic cuba bangkit di pusingan kedua dengan serangan jab dan tumbukan kanan, Jones kekal tenang dengan pertahanan yang mantap serta serangan balas efektif.

Di pusingan ketiga, Jones melancarkan tendangan 'spinning back kick' yang merebahkan Miocic sebelum menamatkan pertarungan dengan siri serangan susulan.

Pengadil Herb Dean kemudiannya mencelah untuk menghentikan pertarungan sekali gus mengisytiharkan kemenangan kepada Jones.

Kemenangan ini sekali lagi mengukuhkan status Jones sebagai salah seorang juara UFC paling dominan dalam sejarah.

Dengan kemenangan tersebut, Jones yang hanya pernah tewas sekali sepanjang kariernya, kini melebarkan rekodnya kepada 28-1.

Untuk rekod, ini merupakan pertemuan pertama antara Jones dan Mocic selepas pertarungan mereka yang dijadualkan berlangsung pada UFC 295, November tahun lalu, terpaksa dibatalkan selepas Jones mengalami kecederaan otot pektoral ketika latihan.

Jones kembali ke gelanggang Octagon pada Mac tahun lalu selepas lebih tiga tahun tidak beraksi sejak 2020, sekali gus meraih kejuaraan heavyweight selepas menumpaskan Ciryl Gane dari Perancis dalam acara utama UFC 285.

Jones secara rasminya telah melepaskan kejuaraan light heavyweight miliknya pada Ogos 2020 lalu, dan naik ke kelas heavyweight.

Dia yang sering digelar petarung 'greatest of all time' (terhebat sepanjang zaman), telah mencipta rekod sebagai petarung paling muda meraih kejuaraan UFC, iaitu pada umur 23 tahun.

Jones pada ketika itu menewaskan Maurício Rua yang juga juara bertahan light heavyweight pada tahun 2011.

Sementara itu dalam acara kedua utama, Charles Oliveira mempamerkan dominasi penuh ke atas Michael Chandler dari Amerika Syarikat sepanjang lima pusingan.

Dengan serangan kaki, tumbukan tepat, dan teknik jiu-jitsu yang hebat, Oliveira, yang merupakan bekas juara lightweight UFC dari Brazil, mengawal perlawanan dari awal hingga akhir.

Chandler cuba bangkit dengan serangan balas dan hempasan ke belakang di pusingan akhir, namun gagal menyaingi kawalan dan strategi Oliveira, yang kemudian mengekalkan kawalan dengan percubaan kuncian hingga tamat perlawanan.

Keputusan mutlak berpihak kepada Oliveira dengan markah 49-44, membuktikan keunggulannya di Octagon.