KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) memberikan lampu hijau buat sebahagian penonton untuk menyaksikan perlawanan di stadium bermula dengan perlawanan peringkat antarabangsa minggu depan.

Badan induk Eropah itu mengumumkan awal pagi tadi bahawa penonton akan dibenarkan untuk hadir ke stadium dalam perlawanan kelolaan UEFA tetapi ia hanya terhad kepada 30 peratus kapasiti stadium yang terlibat.

Tiada penyokong pasukan lawan akan dibenarkan hadir sehingga pengumuman berikutnya dan pintu pagar stadium hanya akan dibuka jika memperoleh kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Kehadiran penyokong itu akan bermula dengan perlawanan peringkat antarabangsa sebelum disusuli dengan perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Jawatankuasa Eksekutif UEFA mengambil keputusan itu selepas kejayaan dalam ujian yang dilakukan sewaktu perlawanan akhir Piala Super UEFA di antara Bayern Munich dan Sevilla di Budapest pada 24 September lalu.

Penjarakan sosial akan menjadi kewajiban buat kesemua penyokong yang hadir dan langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup separuh muka akan dikuatkuasakan berdasarkan ketetapan pihak berkuasa tempatan berikutan pandemik COVID-19.