LIVERPOOL 2 PORTO 0

Jurgen Klopp kagum dengan gol rembatan kencang Thiago Alcantara tetapi berasakan Liverpool agak bernasib baik untuk menewaskan Porto 2-0 dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Klopp merombak skuad kendaliannya itu di Anfield, awal pagi tadi, dengan The Reds sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 sebagai juara Kumpulan B.

Porto turut mempunyai peluang tetapi terpaksa membayar dengan harga mahal apabila rembatan Thiago jarak jauh menggegar gawang mereka dalam separuh masa kedua sebelum sentuhan klinikal Mohamed Salah melebarkan jumlah golnya musim ini kepada 17.

Thiago menempuhi permulaan yang mengecewakan dalam karier di Merseyside, tetapi ia tidak menghalangnya untuk mempamerkan teknik luar biasa sekalipun digandingkan dengan pemain yang membuat kemunculan pertama UCL, Tyler Morton, di bahagian tengah.

Klopp kemudian tampil mengulas mengenai penyudah bertaraf dunia pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Kami mempunyai peluang yang lebih besar dalam permainan ini. Ia luar biasa.

"Saya pernah menyaksikannya dalam latihan, saya tahu dia mempunyai teknik untuk melakukannya tetapi bukan selalu deras seperti itu. Kami memerlukan beberapa detik, sedikit tuah dan pihak lawan mempunyai peluang besar dalam serangan balas," katanya.

Klopp merehatkan beberapa pemain utama memandangkan kedudukan mereka ke pusingan 16 sudah terjamin dan pengurus Liverpool itu menjangkakan aksi yang lebih mantap apabila mereka berdepan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu ini.

"Kami boleh tewas malam ini. Ada beberapa detik nasib menyebelahi kami. Ada masanya kami tidak bermain dengan baik yang tidak saya jangkakan malam ini.

"Saya tidak menjangkakan kami diberi tekanan hebat tetapi permainan kami mula berkembang dan itulah yang menggembirakan saya. Kami perlu beraksi dengan lebih baik ketika menentang Southampton kerana mereka adalah sebuah mesin," katanya.

Liverpool telah memenangi kelima-lima perlawanan UCL musim ini, manakala Porto kekal di tempat kedua untuk merebut satu lagi slot ke pusingan kalah mati menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang boleh menentukan kedudukan tiga lagi pasukan termasuk Atletico Madrid dalam tempoh dua minggu lagi.

Milan akan menyambut kunjungan Liverpool ke San Siro selepas ini tatkala Atleti hanya satu mata di belakang Porto selepas kelab Serie A itu menewaskan juara LaLiga berkenaan 1-0.