KARIM Benzema telah dinamakan sebagai pemain terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021-22 selepas membantu Real Madrid menjulang trofi kejohanan itu buat kali ke-14 hujung minggu lalu.

Dia turut memenangi Anugerah Gol Terbaik UCL menerusi tandukan gemilangnya ketika mengatasi Chelsea dalam suku akhir manakala rakan sepasukannya, Vinicius Junior, memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik.

Kedua-dua penyerang itu merupakan kunci utama Madrid ketika menewaskan Liverpool 1-0 dalam aksi final di Paris.

Dengan menjaringkan 15 gol sepanjang kempen Eropah musim ini, Benzema turut mengungguli carta penjaring terbanyak, di mana 10 daripada jaringan itu dihasilkan dalam pusingan kalah mati.

Penyerang itu, yang menjadi calon pilihan untuk memenangi Anugerah Ballon d'Or musim ini, merupakan pencetus kepada kebangkitan Madrid sewaktu menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG), Chelsea dan Manchester City.

Vinicius, dalam pada itu, menyumbangkan empat gol dan enam bantuan jaringan sepanjang kempen kali ini.

Kedua-dua pemain Madrid itu turut tersenarai dalam kesebelasan terbaik musim ini disamping dua lagi rakan sepasukan mereka, Thibaut Courtois dan Luka Modric.

Senarai kesebelasan terbaik UCL 2021-22:

Thibaut Courtois (Real Madrid); Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Antonio Rudiger (Chelsea), Virgil van Dijk (Liverpool), Andy Robertson (Liverpool); Kevin De Bruyne (Manchester City), Fabinho (Liverpool), Luka Modric (Real Madrid); Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain), Karim Benzema (Real Madrid), Vinicius Junior (Real Madrid).