Thomas Tuchel menuntut pemain Chelsea terus membuktikan kualiti mereka selepas bertindak cemerlang membelasah Norwich City.
Sungguhpun kehilangan Romelu Lukaku dan Timo Werner akibat kecederaan, tetapi The Blues tidak berdepan tugas sukar ketika melayani kunjungan Norwich di Stamford Bridge, malam tadi, dengan Mason Mount mencetak hatrik dalam kemenangan 7-0.
Ia adalah kali keempat Chelsea memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tujuh atau lebih gol dan kali pertama sejak Disember 2012 ketika menewaskan Aston Villa 8-0, sementara Manchester United muncul pasukan lebih kerap menjaringkan tujuh gol dan ke atas dalam aksi EPL.
Mount membuka pesta gol itu selain jaringan Callum Hudson-Odoi, Reece James, Ben Chilwell dan gol sendiri oleh Max Aarons.
Kemenangan itu meletakkan mereka empat mata di puncak dan walaupun senang dengan penampilan barisan kendaliannya, Tuchel mahu prestasi yang sama ketika mereka menentang Southampton dalam Piala Liga Inggeris (EFL), Rabu depan.
Dia memberitahu BT Sport: "Ya, satu persembahan yang baik, kami tajam, berusaha keras.
"Tekanan tinggi, kami menghasilkan tempo tinggi dan mencipta banyak peluang dan percubaan kami begitu tepat. Ia adalah satu kemenangan mutlak. Untuk menjaringkan tujuh, anda memerlukan sedikit tuah dan momentum, tetapi ia satu rentak yang bagus.
"Ini tidak akan berhenti di sini, ini hanya satu perlawanan dan yang berikutnya akan berlangsung di sini, untuk menghadapi satu lagi cabaran dan mereka harus membuktikannya. Pujian terhadap setiap pemain tetapi ini hanyalah satu perlawanan."
Mount gagal melakar sebarang jaringan sejak kemenangan 2-0 ke atas Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL) pada Mei lalu, tetapi dia menjadi bintang ketika menentang Canaries yang bernasib malang berikutan insiden Ben Gibson dibuang padang.
Tuchel berkata: "Bagus, kerana tidak kira apa kata jurulatih dan berapa banyak peluang menarik yang kamu miliki, betapa puasnya pengurus, pemain di bahagian serangan perlukan gol untuk berasa bahagia, penuh keyakinan.
"Dia menunggunya lama, terlalu lama dan adalah bagus apabila dia berjaya merekodkan beberapa gol hari ini."
Tuchel turut prihatin tentang kelesuan yang mungkin dihadapi Mount, lantas dia menambahkan: "Saya tidak fikir ia menjadi satu masalah ketika ini.
"Dia segar dan kelmarin dia letih. Untuk sekarang ini adalah proses, jadual kami masih berselang-seli dengan jadual rehat antarabangsa, saya rasa ini adalah normal. Status ini tidak akan berubah daripada satu perlawanan ke perlawanan yang lain.
"Saya bersetuju bahawa hari ini dia kelihatan segar dan satu tindakan yang bagus untuk menurunkannya. Kami perlu berhati-hati dengan pemain yang memainkan peranan penting dalam pasukan kebangsaan masing-masing dan mengharungi banyak pertandingan."