JUARA tujuh kali Manchester City mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat Piala FA selepas membelasah pasukan Divisyen Empat, Salford City 8-0 pada Ahad.

Perlawanan berlangsung di Stadium Etihad menyaksikan penguasaan anak buah Pep Guardiola, yang kali terakhir menjulang kejuaraan pada 2023, ke atas pasukan pelawat bimbingan Karl Robinson.

Guardiola melakukan sembilan pertukaran kepada pasukan yang menewaskan West Ham United 4-1 dalam Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu dengan Divin Mubama, 20, memulakan debut bersama skuad senior.

Nathan Ake dan Savinho mengekalkan tempat permulaan masing-masing, manakala Stefan Ortega, Mateo Kovacic, Erling Haaland, Kevin De Bruyne, Bernardo Silva, Josko Gvardiol, Manuel Akanji, Phil Foden dan Rico Lewis di bangku pemain simpanan.

Robinson pula membuat dua pertukaran kepada pasukan yang menewaskan MK Dons 1-0 dalam aksi terakhir liga dengan pemain tengah veteran Matty Lund dan penyerang pinjaman berusia 21 tahun Kylian Kouassi kedua-duanya kembali ke kesebelasan utama.

Gol The Citizens dalam perlawanan ini dijaringkan Jérémy Doku, 22, (m-8, m-69 penalti), Mubama, (m-20), Nico O'Reilly, 19, (m-43), Jack Grealish, 29, (m-49 - penalti), James McAtee, 22, (m-62, m-72, m-81).

Sebagai rekod, edisi 2023 yang berlangsung di Stadium Wembley menyaksikan Manchester City menewaskan Manchester United, 2-1 hasil jaringan İlkay Gundogan (m-1, m-51) manakala Bruno Fernandes mengurangkan defisit dengan gol penalti minit ke-33.

PIALA FA

Pusingan Ketiga

Liverpool 4-0 Accrington Stanley

- Sinar Harian