KUALA LUMPUR: Selepas berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara Keirin, jaguh trek berbasikal negara, Shah Firdaus Sahrom bagaimanapun terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada rusuk.

Kecederaan itu berpunca daripada kemalangan dialaminya dalam pusingan saringan acara berkenaan di Velodrom Izu petang Sabtu.

Menurut kemas kini di laman Facebook Team Malaysia, Anggota Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh, yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata Shah Firdaus mungkin mengalami patah tulang rusuk.

Beliau juga dilaporkan berkata, pasukan perubatan penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendapati tahap oksigen pelumba berusia 25 tahun itu rendah.

"Setelah terbabit dalam kemalangan semasa perlumbaan saringan, Shah Firdaus mengadu sakit di bahagian tulang rusuk kiri, namun beliau mahu juga berlumba di pusingan repechages," katanya ketika dihubungi Bernama. 

 
Sumber Facebook TeamMalaysia


Menurut kemas kini di laman Twitternya pula, Amarjit berkata, Shah Firdaus agak kecewa dengan kecederaan itu namun ditenangkan oleh pasukan yang memintanya mengutamakan kesihatan dan keselamatan.

Katanya, beliau juga kagum dengan semangat ditunjukkan Shah Firdaus yang tetap berlumba dengan baik walaupun terpaksa menanggung kesakitan akibat kecederaan berkenaan.

Sementara itu, menurut wartawan Astro Arena, Bazly Azmi ketika dihubungi, memaklumkan Shah Firdaus dibawa oleh petugas paramedik ke Hospital Universiti Juntendo, Shizouka.

Terdahulu, Shah Firdaus berdepan kemalangan selepas berlaku himpitan pelumba Great Britain, Jack Carlin mengakibatkan perlumbaan semula tidak dapat diteruskan.

Bagaimanapun kecederaan bukan penghalang untuk kekal dengan aksi bertenaga apabila pelumba kelahiran Muar itu memilih menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.

Kecederaan yang dialami Shah Firdaus di bahagian rusuk tidak menghentikan perjuangan atau mengganggu prestasinya.

Aksi penuh mendebarkan apabila dia sekali lagi hampir terjatuh namun henjutan terakhir yang menyaksikan dia mengenepikan kesakitan berjaya membawanya berada di kedudukan kedua sekali gus menempah tempat di suku akhir.

Shah Firdaus bersama Datuk Azizulhasni Awang dijadualkan berentap di peringkat suku akhir pada Ahad dalam usaha memburu pingat emas pertama buat negara.