Muhyiddin menegaskan biarpun tanpa pingat, kelibat dan aksi Nur Dhabitah jelas menghiburkan dan mempamerkan semangat yang tidak mudah mengalah.
"Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.
"Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang.
"Senyumlah Nur Dhabitah!" katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Nur Dhabitah terpaksa akur di kedudukan keempat saingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita individu setelah mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.
Biarpun terlepas peluang menyumbangkan pingat kedua kepada Malaysia hari ini, aksi Nur Dhabitah mencuri tumpuan rakyat Malaysia sehingga menjadi 'trending' di media sosial, kerana penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa mengukir senyuman sebelum melakukan terjunan.