OMBAK ganas setinggi dua meter dan angin kencang yang membadai Teluk Enoshima terus menjadi penghalang pelayar negara, Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Latif, untuk melakar keputusan terbaik, masing-masing dalam acara laser standard & laser radial pada Khamis.

Berbekalkan keputusan positif menamatkan perlumbaan keenam di tangga ke-13 kelmarin, Khairulnizam turun beraksi dengan semangat juang tinggi dalam usaha meneruskan momentum berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan angin kencang dan gelora lautan setinggi dua meter di perairan Enoshima benar-benar menguji kudrat pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu untuk berpuas hati menamatkan perlumbaan ketujuh di tangga ke-26 dan perlumbaan kelapan di tangga ke-28.

Ia menyaksikan jaguh negara itu kini berada di tangga ke-27 keseluruhan berbaki dua perlumbaan.

Nasib sama turut menimpa Nur Shazrin dalam acara laser radial, di mana dia menamatkan perlumbaan ketujuh di tangga ke-28 dan perlumbaan kelapan di tangga ke-30.

Ia menyaksikan wakil negara itu berada di tangga ke-28 keseluruhan menjelang dua perlumbaan terakhir hari ini (Jumaat).

Sementara itu, pasangan pelayar negara, Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil, terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan keempat acara 470 Sukan Olimpik Tokyo di tangga ke-18 keseluruhan pada Khamis.

Dalam perlumbaan ketiga di Teluk Enoshima, wakil negara itu bermula baik untuk menamatkan saingan 21 pasukan itu di tangga ke-18.

Bagaimanapun, angin kuat sehingga mencecah 14 knot/jam mula membadai perairan berkenaan dalam perlumbaan keempat sehingga Juni Karimah dan Nuraisyah terpaksa akur menamatkan saingan itu di tempat ke-20.

Malaysia menduduki tangga ke-18 keseluruhan berbaki enam perlumbaan acara 470.

Hanya 10 peserta terbaik selepas 10 pusingan akan layak ke perlumbaan perebutan pingat.