TOKYO: Pemenang pingat emas acara platform 10 meter seirama lelaki, Tom Daley mencuri perhatian lensa penonton apabila dengan gaya selamba mengait ketika menonton acara papan anjal wanita pada temasya itu, semalam.

Portal berita BBC melaporkan, bintang terjun Britain itu hadir di Pusat Akuatik Tokyo untuk menonton da memberi sokongan kepada rakan-rakan finalisnya dalam acara yang dinanti-nantikan berkenaan.

"Tiada apa untuk dilihat di sini, hanya@TomDaley1994 sedang mengait di tempat terjun,” tulis pasukan Great Britain dalam satu pautan Twitter di akaun rasmi mereka. 


Sebelum ini, Daley dalam satu perkongsian di Instagramnya memberitahu bagaimana dia mengait kantung untuk menyimpan pingat emas yang dimenanganinya supaya tidak tercalar.




Menurut Daley, dia sempat menyiapkan satu beg kecil - untuk menyimpan pingat emas Olimpik yang dimenanginya agar tidak bercalar. Beg comel itu, katanya memaparkan bendera Union Jack dan bendera Jepun. 

Daley, 27, memenangi pingat emas pada Isnin Ialu bersama rakan pasukannya, Matty Lee dalam acara terjun serentak 10m platform lelaki.

Daley melakar sejarah sebagai penerjun pertama dari Britain selepas berjaya memenangi tiga pingat Olimpik, termasuk dua pingat gangsa.

Jumaat nanti, Daley sekali akan beraksi sekali lagi untuk bersaing memburu pingat dalam acara 10 meter platform individu.