KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail seakan memberi bayangan skuad Harimau Malaya mungkin diswastakan selepas memuat naik beberapa dokumen di laman sosialnya.

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkongsi dokumen yang dinamakan sebagai 'Strategi Skuad Kebangsaan' apabila ia dikatakan akan diurus oleh badan bebas dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Teknikal.

Ia turut dibantu beberapa pegawai utama antaranya ialah Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi dan Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.

Baginda turut memuat naik hantaran dengan tarikh 15 Disember 2024 yang turut mencetuskan tanda tanya peminat bola sepak tempatan apabila ramai menyifatkan ia mungkin hari permulaan bagi penswastaan berkenaan.

Dalam perkongsian lain, baginda memuat naik gambarnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu sehari sebelum aksi perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan Selangor FC di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu. 

Dalam perlawanan itu, JDT menewaskan Selangor dengan jaringan 6-1. 

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan oleh FAM mengenai penswastaan Harimau Malaya dan ia masih menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. 

Terdahulu, sejumlah RM15 juta diperuntuk kepada Harimau Malaya bagi menjadikan ia pasukan gergasi bola sepak di rantau Asia.

Jelas Anwar, RM10 juta daripada jumlah itu merupakan  peruntukan kerajaan melalui Kementerian Kewangan manakala bakinya adalah tajaan daripada pihak swasta.