Tiga atlet skuad bola baling lelaki yang mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rogol pada temasya Sukan Malaysia ke-16.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pihaknya kini menunggu keputusan siasatan sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

“Kes ini telah dilaporkan kepada polis dan ianya adalah di bawah siasatan polis sekarang ini. Semua ketiga-tiga yang terlibat iaitu atlet daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telahpun ditangkap dan masih berada di dalam tahanan reman. Buat masa ini kita masih menunggu keputusan siasatan.” ujar Khairy.

Khairy turut menjelaskan mangsa bukan atlet sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.

Tetapi mangsa merupakan pegawai tambahan kontinjen Wilayah Persekutuan.

Akhbar tempatan pada Ahad melaporkan mangsa berusia 19 tahun.

Dia mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan, perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu.

Laporan polis mengenai perkara itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.