TAWAU: Tiga kanak kanak lelaki berumur antara 12 hingga 14 tahun ditahan kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di sebuah kebun dalam daerah Tawau pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, susulan laporan polis yang terima daripada ibu mangsa pada 4.56 petang Jumaat berkaitan kejadian itu.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau digerakkan dan berjaya menahan suspek berumur 12 hingga 14 tahun pada jam 5.40 petang hari yang sama.

Menurut Champin, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada jam 9 malam hari Khamis di sebuah kebun berhampiran sebuah kampung dalam daerah Tawau.

"Dua suspek merupakan pemegang sijil lahir manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan kesemua mereka tidak bersekolah.

"Mangsa kanak kanak perempuan berumur 12 tahun juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan merupakan kenalan serta tinggal sekampung dengan semua suspek,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, polis, kata Champin, telah mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Tawau pada Sabtu dan kesemua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 2 Oktober depan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 375b Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.