KUALA LUMPUR: Penyandang juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan satu lagi kegagalan selepas gagal mara ke suku akhir Terbuka Jerman di Mulheim.

Pasangan nombor dua dunia itu tewas secara mengejut 13-21, 18-21 kepada pasangan nombor 25 dunia Akira Koga-Taichi Sato dari Jepun pada pusingan kedua kejohanan Super 300 awal hari ini (Khamis di Jerman).

Pasangan Jepun itu akan menentang Jeppe Bay-Lasse Molhede dari Denmark pada saingan peringkat lapan terakhir, lewat hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini menyertai senarai pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang kesemuanya tewas dalam saingan pusingan kedua.

Sementara itu, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah menyingkirkan pasangan Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance dengan keputusan 21-18, 21-15 dalam masa 39 minit, untuk menempah tempat ke saingan suku akhir kejohanan.

Beregu nombor enam dunia itu akan dicabar oleh pasangan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Satu lagi wakil Malaysia di saingan suku akhir ialah beregu campuran Chen Tang Jie-Teoh Ee Wei, yang menewaskan pemain Korea Selatan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-11, 24-22, dan mereka nanti akan bertembung satu lagi pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.

-- BERNAMA