KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki nombor satu negara Soh Wooi Yik berazam mengembalikan prestasi sebenar bersama pasangannya Aaron Chia sekembalinya pulih dari kecederaan retak tulang jari kaki membelenggunya ketika ini.

Wooi Yik berkata langkah itu penting bagi menjamin kestabilan ranking mereka yang kini berada di kedudukan kelima terbaik dunia berbanding cuba mengejar slot ke pusingan akhir Jelajah Dunia 2024 di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Dis ini.

"Sebenarnya saya dengan Aaron sudah bincang benda ini, kita pun tak letak sasaran untuk ke pusingan akhir Jelajah Dunia 2024 kali ini sebab saya pun ada kecederaan, jadi ambil masa juga (pulih) dan Aaron pun faham situasi saya ketika ini.

"Jadi kita akan pergi ke pertandingan termasuk yang kecil untuk kembalikan rentak dan stabilkan ranking dunia kita sebab jika tak main dalam pertandingan pun tak boleh, ranking pun akan jatuh," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini.

Berdasarkan ranking terkini Jelajah Dunia, juara beregu lelaki dunia 2022 itu kini menghuni kedudukan ke-11 dan berada di luar kelompok lapan pasangan terbaik ke pusingan akhir.

Selepas memutuskan untuk tidak beraksi pada Terbuka China 2024 minggu depan, pemain berusia 26 tahun itu berharap dapat mengembalikan rentak permainan mereka pada baki kejohanan musim ini bermula dengan Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland, dijadual berlangsung dari 8-13 Okt ini.

Wooi Yik sebelum ini mengalami kecederaan itu sewaktu berdepan jaguh China Liang Wei Keng-Wang Chang pada perlawanan separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 bulan lepas.

Saingan di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan juara beregu lelaki dunia 2022 itu tumpas 19-21, 21-15, 17-21.

Mereka kemudian berjaya menebus kehampaan dengan mempertahankan pingat gangsa dimenangi di Tokyo 2020 apabila bangkit dari ketinggalan untuk menumbangkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.

-- BERNAMA