KUALA LUMPUR: Pemain badminton profesional lelaki negara Lee Zii Jia, tewas mengejut kepada Alex Lanier dari Perancis, sekali gus terkeluar daripada Terbuka Jepun 2024, di Yokohama, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan pemain pilihan keenam kejohanan itu, gagal mengulangi prestasi baik beliau dan tewas kepada pemain ke-29 dunia, 18-21, 13-21 dalam masa 41 minit pada kejohanan Super 750 di Arena Yokohama.

Sementara itu dua pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, seperti dijangkakan berjaya layak ke pusingan kedua.

Sze Fei-Nur Izzuddin pasangan pilihan kelapan kejohanan, berjaya mengatasi pasangan tuan rumah Kazuki Shibata-Naoki Yamada, 21-13, 21-13, dan seterusnya ke pusingan kedua untuk bertemu pasangan Liu Huang Keng-Yang Po Han.

Terdahulu, pasangan bukan pilihan dari Taiwan itu, layak ke pusingan kedua selepas menewaskan satu lagi pasangan negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 21-13, 21-17.



SUKAN-BADMINTON (TERBUKA JEPUN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Sementara itu Hon Jian-Muhammad Haikal pula bertindak cemerlang selepas tewas set pertama untuk mengalahkan pasangan Jerman Bjaerne Geiss-Jan Colin Voelker, 12-21, 21-11, 21-16 dalam masa 55 minit.

Tugas sukar menanti pasangan bukan pilihan kejohanan itu, apabila akan berhadapan pasangan dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto selepas mereka mengalahkan pasangan China Xie Hao Nan-Zeng Wei han, 22-20, 13-21, 21-14.

Perseorangan profesional negara Goh Jin Wei pula gagal layak ke pusingan seterusnya, selepas tewas kepada pemain pilihan ketiga kejohanan dari China Wang Zhi Yi, 18-21, 10-21.

-- BERNAMA