BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah, mempamerkan aksi penuh dramatik sebelum membawa cabaran Malaysia ke pentas final badminton Terbuka Hong Kong di Kowloon, hari ini.

Pada aksi separuh akhir itu, Pearly Tan-M Thinaah, bertemu lawan yang sama ketika final Terbuka Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee.

Dengan berbekalkan rekod dua kemenangan dan dua kekalahan dalam empat pertemuan, ia merupakan perlawanan seimbang buat kedua-dua pasangan.

Permulaan yang cemerlang ditampilkan pasangan negara di awal permainan, sebelum beregu Korea Selatan itu berjaya menjarakkan kedudukan kepada 19-15.

Namun, seperti berjaya mencari jalan untuk mematahkan gerakan lawan, Pearly-Thinaah berjaya mengejar permainan sebelum menoktahkan kemenangan 22-20.

Pembukaan set kedua menyaksikan corak permainan bertahan cukup cemerlang daripada Pearly-Thinaah, pukulan smash kencang lawan berjaya dibalas dan memegang kelebihan mendahului 5-1.

Pasangan Korea itu menampilkan corak permainan yang lebih agresif sepanjang set kedua sebelum mengheret permainan ke set penentuan menerusi kemenangan 21-17.

Kedua-dua beregu mempamerkan keazaman yang tinggi dalam mengutip mata demi mata dalam set penentuan, menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya mendahului 11-10 sebelum bertukar gelanggang.

Beregu negara itu terus memandang ke hadapan dengan meraih mata demi mata sebelum menoktahkan kemenangan 21-15.

Untuk rekod, mereka berjaya melangkah ke final Terbuka Hong Kong buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada tahun lalu. -- Stadium Astro