'Apa mereka sangka kami sedang bercinta?'

Itulah luahan oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei apabila ditanya mengenai kesahihan surat viral yang didakwa ditulis oleh pemain badminton negara China, Lin Dan.

Chong Wei mengesahkan beliau tidak menerima sebarang surat daripada Lin Dan dan itu hanya sekadar khabar angin.

Tambah beliau, ia adalah tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

LAPOR LANGSUNG: Sambutan meraikan kepulangan atlet Olimpik negara

VIDEO: 'Surat' Lin Dan kepada Datuk Lee Chong Wei hanyalah bayangan

"Itu wartawan China yang tulis. Dia ingat kami bercinta ke?" kata Chong Wei apabila disoal mengenai surat yang viral.

Chong Wei berkata demikian ketika sidang media sejurus ketibaan kontinjen Olimpik Rio 2016 yang diadakan di Kompleks Bunga Raya KLIA, di sini petang tadi.


Sebelum ini tersiar di laman sosial kononnya sekeping surat yang ditulis oleh Lin Dan kepada Chong Wei selepas perlawanan separuh akhir badminton di Rio.

Dalam 'surat' itu yang kononnya diutuskan oleh Lin Dan mengisahkan sepanjang perjalanan mereka berdua di gelanggang badminton.

Lin Dan juga dikatakan mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei dengan ungkapan "Ribuan terima kasih kerana disebabkan kamu, kita diiktiraf seperti juara yang lain sebagai pesaing yang hebat, ‘Lee-Lin’. Kita seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi di mana persaingan kita ini tiada kesudahannya."