PERMOHONAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mendapat perkenan baginda.


Ringkasan AI
  • Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, telah menerima perkenan untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  • Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan menghadiri urusan rasmi sehingga Majlis Sambutan Maal Hijrah pada 7 Julai 2024, maka pertemuan dengan Hamidin dijangka diadakan selepas tarikh tersebut.
  • Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Selangor oleh MFL dan terhadap Hamidin selaku Presiden FAM.


Hamidin telah dimaklumkan mengenai perkara itu petang semalam melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan mengadap tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” katanya.

Hamidin turut dimaklumkan oleh Munir bahawa Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai 2024.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” tambahnya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).\

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku presiden FAM dan mengenalinya sejak bergelar Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari 1995 hingga 2013 selain berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Ia susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei 2024. - Stadium Astro