KUCHING: Perenang kebangsaan Bryan Leong Xin Ren mencipta rekod baharu acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebanyak dua kali di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.

Bryan, pelajar neurosains dan psikologi di King's College London memecah rekod SUKMA berusia 10 tahun milik Chan Jie iaitu 25.13 saat (s) yang dilakukannya pada peringkat saringan dengan 24.81s.

Perenang berusia 21 tahun yang mewakili Wilayah Persekutuan itu meraih pingat emas dengan catatan 24.46s, tetapi tidak dapat memperbaiki rekod kebangsaan miliknya 24.08s dilakukan di AP Race London International 2024 pada Mei lepas.

Chris Chew Vi Min dari Pulau Pinang meraih perak selepas mencatatkan 24.94s diikuti Bernie Lee Elle Yang (25.17) dari Johor dengan gangsa.

Bryan kemudiannya membantu Chong Xin Lin, Cham Yu Xiang dan Lee Wei Wen menghadiahkan pingat perak buat kontinjen Wilayah Persekutuan dalam acara 4x100 rampaian campuran yang kali pertama dipertandingkan di SUKMA dengan catatan 4:02.20s.

Selangor dibarisi Teoh Kar Chuan, Andrew Goh, Lim Shun Qi dan Khew Zi Xian mencipta sejarah muncul pemenang pingat emas pertama acara berkenaan selepas mencatatkan 4:00.30s meninggalkan wakil tuan rumah Jeff Chua Yu Yang, Hii Puong Wei, Magdalene Lau Ing Siew and Kelly Teo Yao dengan 4:09.15s.

"Saya sasarkan untuk memperbaiki rekod kebangsaan, tapi tetap gembira sumbang emas kepada Wilayah Persekutuan dan pecah rekod temasya sebanyak dua kali. Saya akan cuba perbaiki rekod kebangsaan dalam acara 110m kuak kupu-kupu pada Khamis dan menang pingat acara 4x100m gaya bebas esok," katanya kepada pemberita.

Bryan, yang meraih lima pingat emas dan satu perak pada edisi lepas, hanya boleh mengambil bahagian dalam masing-masing dua acara individu dan berganti-ganti berdasarkan peraturan temasya mengehadkan penyertaan bagi mereka yang mewakili negara di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Bryan beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou.

Sementara itu, Puong Wei memecah rekod acara 200m kuak lentang lelaki selepas mencatatkan 2:06.59s untuk meraih emas.

Wakil Wilayah Persekutuan Lee Boon Wei mencatatkan 2:11.32s dan Aslan Adnan dari Selangor (2:11.44s) masing-masing memperoleh perak dan gangsa.

Wilayah Persekutuan membolot empat daripada sembilan pingat emas dipertandingkan hari ini, diikuti tiga perak dan satu gangsa, manakala Selangor dua emas, tiga perak dan dua gangsa. Tuan rumah pula dengan dua emas dan dua gangsa, berserta Pahang satu emas.

-- BERNAMA