PHNOM PENH: Skuad negara gagal meneruskan rentak cemerlang pada hari kedua acara berbasikal bukit Sukan SEA 2023 apabila sekadar menduduki tempat keempat dalam perlumbaan 'cross country' berganti-ganti berpasukan hari ini.

Membariskan Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon pada saingan berlangsung di Kulen Mountain, Siem Reap yang terletak kira-kira 320 kilometer dari ibu negara Kemboja ini, kuartet negara hanya mencatat masa 53 minit 21 saat.

Pelumba Indonesia meraih pingat emas pada perlumbaan sejauh 14.8 kilometer itu selepas merekodkan masa 50:11s, mengetepikan cabaran wakil Thailand yang mencatat masa 51.44s manakala gangsa milik gandingan Filipina yang melakukan 52.25s.

Sementara itu, pengurus pasukan skuad berbasikal bukit negara Mohd Saiful Abdul Jalil berkata kem negara agak kecewa kerana gagal menyumbangkan pingat kepada Malaysia pada perlumbaan hari ini.

Namun, beliau berkata tiada sesiapa perlu dipersalahkan walaupun sasaran kem berbasikal bukit negara bagi acara berkenaan adalah pingat emas.

"Segalanya berjalan dengan baik, namun nasib turut tidak menyelebahi kita untuk sekurang-kurangnya memenangi pingat gangsa," katanya menambah Indonesia dan Thailand turut membariskan pelumba-pelumba hebat pada temasya kali ini.

Beliau berkata tumpuan skuad negara kini adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan podium dalam acara individu 'cross-country eliminator' atau penyingkiran.

Semalam, Nur Assyira menceriakan kem berbasikal bukit negara apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara individu 'cross country Olympic' wanita.

Sebagai rekod, skuad berbasikal bukit negara mencipta pencapaian bersejarah pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas, apabila merangkul pingat emas pertama Malaysia dalam acara "cross country" berganti-ganti berpasukan sepanjang penganjuran acara berkenaan pada temasya Sukan SEA.

-- BERNAMA