PENYERANG England, Harry Kane, yakin beraksi selaku kapten The Three Lions dalam Piala Dunia ini tidak akan memberikan impak kepada permainannya menjelang aksi pembukaan Kumpulan G berdepan Tunisia, awal pagi esok.

Kane, yang menjaringkan lima gol dalam aksi kelayakan England ke Piala Dunia dan 30 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Tottenham musim lalu, diberikan tanggungjawab oleh Gareth Southgate untuk nmengetuai England bagi saingan di Russia.

Pemain berusia 24 tahun itu menjelaskan beraksi selaku kapten tidak akan mengubah gaya permainannya, malah dia memberikan keutamaan kepada kejayaan pasukan.

"Apa yang orang akan bercakap mengenai saya, permainan saya adalah mengutamakan kejayaan pasukan," kata Kane.

"Bagi saya, tiada apa yang berubah -- sama ada saya dipilih sebagai kapten ataupun tidak. Saya akan membuat keputusan terbaik untuk pasukan dan berharap ia adalah yang terbaik.

"Saya tidak berasakan sebarang tekanan tambahan kerana lilitan kapten di lengan saya. Permainan saya tidak akan berubah.

"Saya akan cuba menampilkan aksi terbaik, memberikan sokongan kepada rakan sepasukan sepanjang perlawanan.

"Sebagai penyerang England, tanggungjawab saya adalah menjaringkan gol dan itu adalah sasaran utama saya."