HAVANA: Penduduk Cuba terpaksa bergelap apabila separuh daripada kepulauan itu mengalami gangguan bekalan elektrik akibat kekurangan bahan api dan kegagalan infrastruktur.

Syarikat pembekal dikendali kerajaan, National Electric Union, mengumumkan kapasiti penjanaan elektrik ialah 1,692 megawatt berbanding permintaan lebih tinggi iaitu 3,300 megawatt.

Ini sekali gus menyebabkan jutaan penduduk terputus bekalan elektrik.

Dalam pada itu, perusahaan kecil dan sederhana swasta terpaksa mencari penyelesaian alternatif untuk mengurangkan kerugian dan terus menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan mereka.

Peningkatan gangguan bekalan elektrik berlaku akibat loji jana kuasa berasaskan minyak dilaporkan uzur dan kebanyakan mencecah usia beberapa dekad sehingga gagal beroperasi dengan baik.

Krisis ekonomi di Cuba dilaporkan semakin parah, termasuk penduduk berdepan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan sekali gus menyebabkan penghijrahan penduduk Cuba mencecah rekod tertinggi malah menambah lagi penderitaan dialami.