KUALA KANGSAR: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dinobatkan sebagai juara Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2024 selepas mencatat kemenangan besar pada perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menjuarai Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2024, menang 36-5 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga/Akademi Ragbi Selangor (Aras).
  • SSTMI merangkul Piala NJ Ryan untuk kali kelima, dengan Zaharuddin Alias dinamakan Pemain Terbaik dan Arief Anaqi Anuar sebagai Pemain Terbaik Perlawanan akhir.
  • Kejohanan ini turut disertai oleh tiga pasukan antarabangsa dari Jepun, Indonesia, dan Taiwan.


Pasukan itu menang 36-5 ke atas Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga/Akademi Ragbi Selangor (Aras) yang juga merupakan juara bertahan.

Kejayaan terbaharu itu menyaksikan SSTMI lima kali merangkul Piala NJ Ryan selepas pernah bergelar juara pada 2011, 2012, 2016, dan 2017.

Anugerah Pemain Terbaik diberikan kepada Zaharuddin Alias manakala pemain SSTMI, Arief Anaqi Anuar dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan akhir.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Bagi persaingan tempat ketiga, finalis tahun lalu, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP)
memastikan kemenangan terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) dengan keputusan 10-5.

Dalam perlawanan akhir kategori Plate pula, Sekolah Menengah Kebangsaan HOSBA (HOSBA) Kedah muncul juara dengan menewaskan Maktab Sultan Abu Bakar/English College (EC) 25-15.

Dalam perlawanan akhir kategori Bowl, Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII) unggul dengan mengetepikan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) 38-15.

Dalam perlawanan akhir kategori Shield pula, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas (AKRAM) dari Melaka muncul juara, menewaskan Victoria Institution (VI) 14-0.

Edisi ke-12 kejohanan ini turut disertai tiga pasukan antarabangsa – Akademi Shizuoka Seiko (SSA) dari Jepun, Sekolah Menengah Atas Darunnajah (SMAD) dari Jakarta, Indonesia dan Sekolah Tinggi
Guanyin Perbandaran Taoyuan (GHS) dari Taoyuan City, Taiwan.