CELTA VIGO 2 REAL MADRID 4

Ketua jurulatih sementara, Santiago Solari, enggan membincangkan masa depannya bersama Real Madrid selepas membimbing Los Blancos melakar kemenangan keempat berturut-turut ke atas Celta Vigo, semalam.

Kemenangan 4-2 di Balaidos bermakna Solari merupakan pengendali Real yang pertama meraih empat kemenangan berturut-turut sejak mengambil alih pasukan -- kali terakhir oleh Manuel Pellegrini pada 2009.

Solari mengimbangi semula pasukan selepas mereka tewas 5-1 dalam aksi El Clasico yang menyaksikan Julen Lopetegui dipecat bulan lalu sebelum beliau mengambil alih.

Pengendali berusia 42 tahun itu, yang tidak berminat untuk mengesahkan kedudukannya bersama pasukan, bagaimanapun memberitahu media, "Perkara paling penting adalah melakukan tugas yang terbaik untuk pasukan."

Solari terhutang budi di atas persembahan cemerlang Karim Benzema ketika berdepan Celta, dengan penyerang kelahiran Perancis itu membuka jaringan dan memaksa Gustavo Cabral menjaringkan gol sendiri dalam separuh masa kedua.

Sergio Ramos dan Dani Ceballos turut bertindak selaku penjaring pada penghujung permainan bagi memastikan mereka hanya ketinggalan empat mata di belakang Barcelona selepas juara bertahan itu tewas 4-3 kepada Real Betis di Nou Camp.

Perkara negatif yang perlu dihadapi Real dalam perlawanan adalah mereka kehilangan khidmat Casemiro, Sergio Reguilon dan Nacho Fernandez ekoran kecederaan serta memberikan pujian kepada pendekatan yang dipamerkan oleh tuan rumah.

"Celta bermain dengan agresif. Casemiro terpaksa dikeluarkan dan Gareth Bale turut menghadapi kesukaran dalam perlawanan ini. Asakan lawan telah mengehadkan pergerakan Real dan kami terpaksa menghadapinya."