Skuad skuasy wanita kebangsaan gagal dalam usaha mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia Jakarta - Palembang 2018 setelah tewas mengejut 0-2 kepada India pada perlawanan separuh akhir acara berpasukan di Pusat Skuasy Gelora Bung Karno, di sini hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia sekadar meraih pingat gangsa. Mengikut format pertandingan, pasukan yang tewas pada separuh akhir secara automatik meraih gangsa.

Pada perlawanan hari ini, ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang menjuarai acara perseorangan kejohanan itu, tewas 10-12, 9-11, 11-6, 12-10 dan 9-11 kepada pemain utama India Joshna Chinappa pada perlawanan pertama.

Juara Terbuka Malaysia 2018 Low Wee Wern juga mengalami nasib sama selepas dikalahkan pemain nombor 19 dunia Dipika Pallikal Karthik; 2-11, 9-11 dan 7-11 ketika perlawanan kedua, sekali gus menamatkan impian Malaysia mempertahan pingat emas yang dimenangi pada dua edisi temasya itu sebelum ini, 2010 di Guangzhou, China dan 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Untuk rekod, acara berpasukan skuasy lelaki dan wanita diperkenalkan untuk kali pertama pada Sukan Asia 2010.

Bercakap kepada media Malaysia selepas perlawanan itu, Nicol berkata beliau sedikit kecewa dengan prestasinya hari ini yang juga kemunculan terakhir beliau dalam temasya empat tahun sekali itu, sejak membuat kemunculan pertama pada Sukan Asia Bangkok 1998.

"Kedudukan kami sangat hampir dan kami telah berikan semua yang terbaik, namun pasukan India tampil dengan keyakinan sangat tinggi dan menunjukkan aksi terbaik mereka...Wee Wern juga bermain dengan baik hari ini tetapi nasib tidak menyebelahi kami.

"Bagi saya, memenangi satu emas dalam perseorangan wanita dan gangsa adalah pencapaian yang boleh dibanggakan. Kami turun di gelanggang hari ini bukan sekadar untuk bermain sebagaimana biasa, tetapi India telah bermain dengan sangat baik," kata pemain kesembilan dunia itu.

Hong Kong dan Jepun dijadualkan bertemu hari ini pada satu lagi acara separuh akhir.

-- BERNAMA