KUALA LUMPUR: Malaysia terlepas peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia selepas tewas 1-2 kepada Republik Czech dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16 di Tauranga, New Zealand, hari ini.

Pemain nombor dua negara, Addeen Idrakie Bahtiar memberi harapan kepada Malaysia di Arena Mercury Baypark apabila menghadiahkan mata pertama dengan menewaskan Viktor Byrtus 12-10, 9-11, 11-8, 11-9.

Bagaimanapun, Republik Czech menyamakan kedudukan selepas Daniel Mekbib menang 11-6, 8-11, 11-9, 11-6 ke atas pemain berusia 24 tahun Sanjay Jeeva yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Jakub Solnicky menjadi wira pasukan Republik Czech apabila dengan mudah menewaskan wakil negara berusia 19 tahun tahun , Ameeshenraj Chandaran, 11-9, 11-1, 11-8.

Bercakap selepas perlawanan, pemain senior Addeen, berkata pasukan negara memberikan yang terbaik tetapi ia tidak mencukupi untuk mencapai kemenangan.

Pada masa sama, pemain berusia 29 tahun itu percaya bahawa dua rakan sepasukannya perlu belajar cara mengawal tekanan dan mengekalkan ketenangan di gelanggang, terutamanya menentang pasukan yang bagus.

Dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-11-2, esok, Malaysia bertemu Australia yang dikecewakan oleh Hong Kong 0-2 dalam perlawanan lain hari ini.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menetapkan sasaran menamatkan kejohanan kali ini dalam kelompok 12 terbaik.

-- BERNAMA