PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan nama “Harimau Malaysia” sebagai gelaran rasmi baharu bagi skuad bola sepak tempatan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Presiden FAM, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, gelaran baharu tersebut diharap dapat memberi gambaran jelas bahawa skuad kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak.

"Bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai tahun 2016 ini, FAM berasakan nama gelaran Harimau Malaya yang sering kali diguna pakai sebelum ini sudah tidak lagi sesuai.

"Ini memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu,” titah Tengku Abdullah.

Pada 22 Februari tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah menyuarakan saranan supaya gelaran "Harimau Malaysia" diguna pakai untuk merujuk kepada skuad kebangsaan, berbanding "Harimau Malaya" yang menggambarkan seolah-olah penyokong Sabah dan Sarawak tidak terlibat langsung.

FAM turut melancarkan peraduan mencipta logo Harimau Malaysia yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia untuk mencipta imej baharu pasukan kebangsaan.

Peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 serta pengalaman bersama skuad kebangsaan pada kejohanan AFF Suzuki pada akhir tahun ini.

Gelaran baharu ini diumumkan pada Majlis Pengenalan Penaja & Pengumuman Nama Gelaran Baharu Skuad Kebangsaan bertempat di sebuah hotel di sini.