UBON RATCHATHANI: Skuad bola sepak negara melangkah ke pentas final Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 biarpun tewas 1-2 kepada Laos dalam aksi terakhir peringkat kumpulan semalam.

Skuad negara dibimbing Ridzuan Abu Shah mengesahkan slot itu selepas mempunyai kelebihan jaringan ke atas Laos sekali gus akan bertemu juara bertahan dan tuan rumah Thailand Jumaat ini.

Dalam aksi format liga sepusingan di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, Laos terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi Akkhom Thoranin sebelum Vanna Bounlovongsa menggandakan jaringan pada minit ke-57.

Skuad negara kemudian memperoleh gol tunggal menerusi jaringan Saiful Iskandar Adna Saiful Azlan pada minit ke-59 yang sudah memadai meletakkan skuad negara menduduki tangga kedua kumpulan menerusi kelebihan perbezaan jaringan biarpun berkongsi empat mata dengan Laos.

"Saya bernasib baik kerana memilih untuk menurunkan ramai pemain utama dalam aksi ini. Jika tidak, mungkin keputusan sebaliknya boleh terjadi kepada kami jika saya memandang mudah cabaran Laos.

"Apapun saya berbangga dengan pemain kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat final. Saya percaya aksi di final nanti akan jauh lebih baik berbanding hari ini dan kita akan buktikan sesuatu," menurut Ridzuan ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Skuad negara pada perlawanan pertama kumpulan menewaskan Myanmar 2-1 sebelum terikat seri 2-2 bertemu tuan rumah pada perlawanan kedua.

-- BERNAMA