KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan pelapis karate negara, R. Shamendran dinaikkan ‘pangkat’ apabila kini menggalas tugas sebagai ketua jurulatih sementara skuad senior berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Mohd Razlan Shah Mohamad Rabii berkata ia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandangnya, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy yang tamat kontrak pada hujung tahun ini.

Beliau berkata skop tugas pemenang pingat emas empat kali Sukan SEA itu kini bukan sahaja memantau prestasi pasukan senior, tetapi juga pasukan pelapis kebangsaan.

“Kita tidak tahu lagi berapa lama Shamendran akan pegang jawatan ini tetapi kita akan lihat prestasinya dalam tempoh enam bulan, dengan akan ada kejohanan penting tahun hadapan sebelum Sukan SEA iaitu Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang dijadual berlangsung pada April di Brunei.

“Kami percaya Sharmendran mampu memikul tanggungjawab ini berdasarkan pengalamannya sebagai bekas atlet cemerlang serta mempunyai kelayakan apabila memiliki sijil kejurulatihan tahap dua,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini semalam.

Mohd Razlan Shah berkata Shamendran akan dibantu beberapa jurulatih antaranya S. Senthil Kumaran and L. Kunasilan untuk pasukan senior manakala Mohd Hatta Mahamut akan mengendalikan skuad pelapis.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya masih belum mempunyai calon tetap bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tamer ketika ini.

Beliau berkata sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas melihat prestasi Shamendran dalam kejohanan SEAKF itu nanti.

“Untuk sekarang, tidak ada sebarang calon (ketua jurulatih tetap), perlu lihat kepada keperluan dan kita akan teliti perkara itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang," katanya.

-- BERNAMA