KUALA LUMPUR: Kemenangan besar 4-0 yang diraih Selangor FC menentang wakil Filipina Cebu FC pada aksi terakhir Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) II (ACLII) tidak cukup untuk membantu Gergasi Merah mara ke pusingan 16 terakhir.

Ia selepas Selangor menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan mengutip 10 mata di belakang wakil Thailand Muangthong United yang mengumpul 11 mata selepas menang 1-0 ke atas pendahulu kumpulan, Jeounbuk Hyundai pada satu lagi aksi.

Turun dalam misi wajib menang pada pertembungan di Stadium Rizal Memorial, Manila, anak buah Katsuhito Kinoshi bermula baik apabila meraih gol di penghujung babak pertama menerusi penyerang import Yohandry Orozco yang bijak menanduk hantaran Alvin Fortes untuk mendahului 1-0.

Bermula separuh masa kedua, Selangor tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan jaringan kedua sekali lagi menerusi Orozco pada minit ke-48.

Pasukan pelawat kemudian berjaya menambah dua lagi gol menerusi Nooa Laine dan Fortes masing-masing pada minit ke-57 dan ke-79 untuk meraih kemenangan mutlak 4-0.


Ini merupakan kemenangan pertama pasukan Selangor di bawah kendalian Katushito selepas tewas dalam dua aksi peringkat domestik sebelum ini.

Jeonbuk muncul juara kumpulan dengan mengumpul 12 mata, satu mata mengatasi Muangthong United di kedudukan kedua manakala Cebu tercorot dengan satu mata.

-- BERNAMA