PETALING JAYA: Sri Pahang FC berjaya meloloskan diri ke suku akhir Piala Malaysia 2024/2025 dengan agregat 3-2 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang dalam melancarkan serangan bagi memburu jaringan pertama sebelum pasukan pelawat membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-25.

Sepakan penalti itu diberikan selepas Harith Haiqal Adam Afkar menjatuhkan penyerang Kpah Sherman di dalam kotak penalti pada minit ke-24.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah pengendali baharu skuad Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi, memperkemas permainan dan hampir menyamakan kedudukan apabila Alvin Fortes melakukan percubaan namun bola tersasar ke sebelah kanan gawang pada minit ke-29.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan semakin garang memburu jaringan sebelum pasukan pelawat hampir menggandakan kedudukan apabila Sherman menjaringkan gol pada minit ke-52 namun gol tersebut dibatalkan pengadil kerana pemain dari Liberia itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Percaturan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Ali Olwan menjaringkan gol penyamaan selepas menerima hantaran pantas Fortes pada minit ke-64.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana penyerang Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim berada dalam kedudukan ofsaid.

Kekecewaan itu tidak mematahkan semangat skuad Gergasi Merah aoabila akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi kapten pasukan Muhammad Safuwan Baharudin yang menanduk masuk bola ke gawang pasukan lawan selepas menerima hantaran Fortes pada minit ke-78.

Namun, Sri Pahang sekali lagi di hadapan apabila Sergio Aguero menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 selepas pemain pertahanan Selangor Quentin Ho menjatuhkan Maykola Ahapov dalam kotak penalti pada minit ke-81.

Selangor gagal menyamakan kedudukan meskipun mendapat dua sepakan penjuru pada masa kecederaan dan perlawanan berakhir dengan keputusan Sri Pahang 2-1 Selangor.

Sri Pahang kini akan menentang Perak FC dalam pusingan suku akhir dengan perlawanan timbal balik yang dijadualkan berlangsung pada 15 dan 22 Dis ini.

Sementara itu, aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan pasukan tuan rumah mempamerkan aksi dominan untuk mara ke suku akhir dengan agregat 6-4 selepas menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA) 4-1.

Kapten pasukan tuan rumah, Paulo Josue membuka jaringan pada minit ke-14 sebelum Jovan Motika menggandakan gol lima minit kemudian. KL City menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan selesa apabila Ryan Lambert menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, KDA di bawah kendalian Victor Andrag membuka tirai jaringan menerusi Milos Gordic pada minit ke-74 namun KL City menambah duka KDA dengan gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi Zhafri Yahya (minit ke-90+2).

KL City bakal menghadapi cabaran getir di suku akhir apabila bertemu juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 13 dan 21 Dis ini. - BERNAMA