BEKAS jaguh UFC Khabib Nurmagomedov mendakwa telah mengetahui tentang penyertaan semula Cristiano Ronaldo ke Manchester United sejak sebulan lalu.

Legenda sukan seni bela diri campuran (MMA) itu turut berkata, dia tidak terkejut dengan perpindahan tersebut, malah merasakan Ronaldo lebih sesuai di United berbanding Juventus.

“Sebulan lalu, dia (Ronaldo) memberitahu saya dia akan ke Manchester United.

“Saya sudah menjangkakannya. Bagi saya, Manchester United lebih sesuai untuknya berbanding Juventus. Bagi saya, perpindahan itu bukan sesuatu yang mengejutkan,” katanya sebagai dipetik RT News.

Khabib juga memberitahu, dia sering berhubung dengan bintang bola sepak itu, malah katanya hampir setiap hari.

BACA: Ronaldo sah kembali ke Manchester United

BACA: Ronaldo kembali sarung jersi nombor 7 di United

BACA: Impian tercapai, Khabib kini sah bergelar pemain bola sepak

Manchester United pada Sabtu lalu mengumumkan sudah mencapai persetujuan bagi mendapatkan semula khidmat Ronaldo daripada Juventus.

Persetujuan itu berlaku selepas 12 tahun beliau meninggalkan Old Trafford untuk ke Real Madrid.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi laman web rasmi Manchester United.

Sementara itu, Astro ARENA melaporkan, Ronaldo bersetuju kembali menyertai Manchester United selepas memeterai perpindahan bernilai EURO15 juta, dengan tambahan EURO8 juta.

Memetik sumber ESPN, pemain berusia 36 tahun itu dilaporkan bakal menandatangani kontrak dua tahun bersama Old Trafford.

Kelab itu juga mengesahkan bahawa Ronaldo akan memakai jersi nombor 7 bagi musim 2021-22.