IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menyerbu empat premis pusat hiburan karaoke yang menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Myanmar dengan bayaran antara RM450 hingga RM600 di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata dalam operasi yang bermula 11.30 malam hingga 1 pagi itu, 19 GRO wanita dan 20 lelaki warga Myanmar berumur antara 19 hingga 35 tahun ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan dan menjadi pelanggan di pusat hiburan tersebut.

Beliau berkata operasi melibatkan 30 anggota itu dijalankan selepas dua bulan intipan dilakukan dan mendapati premis berkenaan menawarkan perkhidmatan GRO kepada pelanggan khususnya lelaki warga Myanmar.

"Semasa serbuan dilakukan semua pelanggan dan GRO disyaki sedang berhibur kerana kedengaran bunyi muzik yang kuat ketika ketibaan penguat kuasa JIM di luar premis. Ketika pintu utama dipecahkan, kelihatan semua mereka panik dan berusaha melarikan diri dan bersembunyi.

"Berdasarkan intipan, mereka ini disyaki telah beroperasi dalam tempoh enam bulan dan modus operandi yang digunakan bagi mencari pelanggan adalah melalui media elektronik antaranya Facebook," katanya dalam sidang media malam tadi.

Meor Hezbullah berkata pusat hiburan itu turut menjalankan promosi aktiviti premis mereka di platform tersebut dan menawarkan perkhidmatan khusus kepada lelaki warga Myanmar dan GRO yang ditawarkan juga warga sama.

Beliau berkata pusat hiburan itu dipercayai tidak hanya menawarkan perkhidmatan karaoke dan minuman malah menawarkan perkhidmatan lain.

"Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui siapa dalang di belakang mereka yang menguruskan kemasukan warga Myanmar ini," katanya.

Beliau berkata kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru di sini manakala siasatan akan dijalankan mengikut Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.

-- BERNAMA