CRISTIANO Ronaldo adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman dan tidak boleh disalahkan kerana Juventus tersingkir awal saingan Liga Juara-Juara, menurut rakan sepasukan antarabangsa, Bruno Fernandes.

Juve tersingkir daripada pertandingan kelab elit Eropah oleh Porto dalam pusingan 16 Rabu lalu, tewas secara agregat 4-4 setelah melewati masa tambahan di Stadium Allianz.

Sergio Oliveira menjaringkan gol penting menerusi sepakan percuma.

Bekas pengendali Bianconeri, Fabio Capello, menyatakan Ronaldo merupakan punca di sebalik kekalahan dua perlawanan tersebut, di mana pemenang Ballon d'Or lima kali itu gagal menjaringkan gol.

Bekas presiden,  Giovanni Cobolli Gigli , turut mencadangkan Juve tidak seharusnya berbelanja sebanyak EURO100 juta untuk menandatangani penyerang pada 2018, sementara Fernandes mempertahankan rakan senegaranya itu.


"Cristiano adalah salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Mentalitinya memberi inspirasi kepada mereka yang bermain bola sepak," kata Fernandes kepada La Gazzetta dello Sport.

"Dia telah banyak menang, tetapi tidak ada yang boleh menang dengan sendiri.

"Saya faham bahawa kehadirannya di Juve telah menimbulkan harapan yang besar untuk memenangi Liga Juara-Juara, tetapi apabila satu pasukan kalah, seluruh pasukan kalah, bukan satu pemain.

"Saya tidak terkejut [dengan hasilnya]. Porto mempunyai mentaliti yang menang. Mereka bermain bola sepak yang agresif dan saya menjangkakan mereka akan menimbulkan masalah untuk Juventus."