BEIJING: Seorang pemuda sanggup berbasikal selama tujuh bulan dari China ke Arab Saudi untuk bertemu bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo, lapor South China Morning Post.

Gong, 24, dari wilayah Anhui di timur China, memulakan perjalanan dari rumahnya pada 18 Mac lalu.

Dia hanya berbasikal ke utara Beijing sebelum pergi jauh ke barat, kemudian memasuki Kazakhstan dari Xinjiang, dan melepasi enam negara lain termasuk Georgia, Iran dan Qatar, sebelum tiba di Riyadh, Arab Saudi yang menjadi tempat pemain bola sepak kegemarannya berada di sana.

Pada 20 Oktober lalu, Gong berjaya merealisasikan cita-citanya sejak kecil apabila bertemu dengan pemain bintang bola sepak dari Portugal itu di Kelab Bola Sepak Al Nassr.

Di China, Ronaldo, 39, dikenali secara meluas sebagai 'C Luo' dan beliau merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa dengan lebih 900 jaringan gol.

Malah, pemain kelab bola sepak yang kini berpangkalan di Riyadh juga mempunyai jumlah pengikut teramai iaitu 640 juta orang.

Gong hanya menunggang basikal untuk berjumpa Ronaldo di Arab Saudi. - Foto Agensi

Gong berkata, percubaan pertamanya berbasikal ke Arab Saudi untuk berjumpa dengan idolanya gagal selepas di mengalami kecederaan pada Februari lalu.

Semasa memulakan aktiviti berbasikal menuju ke negara Asia Barat itu, Gong hanya membawa dua biji 'power bank' berkapasiti 60,000mAh, sebuah khemah, peralatan memasak, pakaian dan beberapa keperluan asas lain.

Semasa melewati beberapa negara, dia menggunakan aplikasi terjemahan untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Dia juga pernah mengalami demam panas di Armenia dan terjatuh di tepi jalan.

Apabila Gong tiba di Riyadh, Ronaldo pada masa itu berada di Eropah untuk satu perlawanan, tetapi kakitangan di Al Nassr berjanji untuk mengatur pertemuan selama satu minit dengan idolanya itu.

Semasa pertemuan selama satu minit, Gong menganggap ia seperti satu mimpi apabila Ronaldo berjabat tangan, memeluknya dan menandatangani jersi Al Nassr nombor 7, dan sepanduk yang menulis nama rakan Gong dan ayat, "Apa yang saya impikan adalah cinta sejati dan kebebasan".

Dia memuat naik video pertemuan mereka di laman sosial dengan kapsyen "Saya sudah bertemu wira saya".

Gong berkata, destinasi seterusnya ialah kampung halaman Ronaldo di Portugal. - Agensi/Sinar Harian