BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo, diumumkan sebagai bintang bola sepak dengan pendapatan paling tinggi bagi tahun 2015, mengatasi 'seteru' rapatnya dari Barcelona, Lionel Messi.

Messi mengungguli senarai itu pada tahun 2014.

Dalam senarai terbaharu yang dikeluarkan majalah Forbes itu, Ronaldo berada di tangga teratas dengan AS$82 juta (RM330 juta), diikuti Messi dengan pendapatan AS$77 juta (RM310 juta) di tempat kedua dan penyerang Paris Saint-Germain, Zlatan Ibrahimovic di tempat ketiga dengan pendapatan AS$37 juta (RM149 juta).


Daripada jumlah pendapatan itu, Ronaldo menerima AS$53 juta (RM213 juta) sebagai gaji tahunan di Real Madrid, manakala selebihnya diperoleh daripada tugasannya sebagai duta beberapa jenama dan produk terkemuka dunia.

Kapten Portugal itu juga dinamakan sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi, merangkumi semua jenis sukan.

Turut berada dalam senarai 20 pemain bola sepak dengan pendapatan tertinggi itu ialah Neymar, Gareth Bale, Luis Suarez dan Wayne Rooney.